Suspek kes tembak di Kuching ada senapang patah, miliki 14 rekod jenayah — Polis


  • 112
  • Khamis, 16 Dis 2021

SUSPEK lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian. — Facebook

SUSPEK penjenayah yang ditembak mati di Kuching, Sarawak dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam pada Rabu disahkan memiliki senapang patah dan beberapa butir peluru hidup di dalam keretanya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam kejadian itu, pihak polis telah merampas senjata api tersebut dan peluru dari dalam kenderaan jenis Proton Saga plat nombor JBP 6808 yang dipandu suspek.

Beliau berkata, suspek terdahulu turut difahamkan memegang senjata api itu ketika dihampiri anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Daerah Kuching yang mengejarnya sehingga persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang Tiga.

266162294_5223265784369632_4250478417472673666_n

KENYATAAN rasmi Pesuruhjaya Polis Sarawak.

"Demi menjaga keselamatan serta harta benda awam, anggota polis berkenaan telah melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek dan menyebabkan kereta itu terhenti.

"Selepas itu, anggota itu bersama rakan setugas cuba menghampiri kenderaan suspek untuk tujuan pemeriksaan namun tiba-tiba terlihat suspek memegang selaras senjata api," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Aidi berkata, bagi mempertahankan diri, anggota polis itu melepaskan dua das tembakan ke arah suspek tersebut yang juga penjenayah dengan 14 rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, curi kenderaan serta penipuan.

"Anggota polis bertugas melepaskan tembakan semasa cuba menahan suspek yang memandu dalam keadaan berbahaya dan mencurigakan.

"Walaupun sudah diarah berhenti untuk diperiksa, suspek memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri hingga melanggar lima buah kenderaan awam ketika sampai di lampu isyarat Jalan Simpang Tiga," katanya.

267749803_5223265811036296_7726705678540695447_n

KENYATAAN rasmi Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

"Bedah siasat ke atas suspek dilakukan di Hospital Umum Sarawak pada Khamis untuk mengetahui punca kematian.

"Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh. Orang ramai diingatkan tidak membuat spekulasi mengenai kejadian ini agar tidak menjejaskan siasatan dan menghormati keluarga si mati," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram