PENCEMARAN bau dan buih dalam air yang dikesan di Kampung Sungai Rinching Tengah, Semenyih dijangka mengakibatkan gangguan bekalan air di 463 kawasan di Selangor dan Putrajaya.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, siasatan awal yang dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati terdapat kesan buih pada jam 8.45 pagi pada Rabu di permukaan air anak Sungai Rinching, iaitu anak Sungai Semenyih.
"Siasatan lebih terperinci dijalankan susulan insiden tersebut. Majlis Perbandaran Kajang dan Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan sewajarnya dengan melakukan pemeriksaan.
"Hasil siasatan awal menunjukkan ada aliran air daripada longkang berdekatan kawasan kilang di Fasa 7 Kesuma Beranang," katanya.
Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas loji rawatan air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan pencemaran bau diesel yang telah dikesan di sungai berkenaan.
Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada para pengguna yang terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram