SEORANG bayi perempuan berusia empat bulan ditemukan dalam keadaan lemah di rumah pengasuhnya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, sebelum meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, (HTJ) Negeri Sembilan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ibu mangsa yang berusia 24 tahun sebelum itu mendapat panggilan telefon daripada pengasuhnya pada pukul 4.40 petang.
"Ketika dihubungi, pengasuh memaklumkan keadaan anaknya sangat lemah dan meminta wanita itu segera ke rumahnya.
"Sebaik tiba, ibunya mendapati keadaan kulit wajah anaknya pucat dan tiada tindak balas apabila dia cuba mengejutkannya. Bayi itu kemudiannya dihantar ke HTJ untuk mendapatkan rawatan dan diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, Nanda berkata kira-kira 30 minit kemudian, petugas hospital berkenaan memaklumkan bahawa bayi itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Tambahnya, punca kematian belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan keputusan bedah siasat diperoleh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram