INDAH khabar daripada rupa, itulah keadaan premis makanan yang digambarkan oleh seorang pengunjung medan selera di sebuah pusat beli belah popular di Kuala Lumpur.
Keadaan kedai makan yang jijik dan kotor itu tular di media sosial Twitter apabila pelanggan yang menggunakan akaun bernama sarahshimmers mengeluh kecewa di InstaStory kerana dua ekor tikus lalu di hadapannya ketika dia sedang menjamah makanan.
Dia mendakwa kejadian itu berlaku di satu daripada cawangan Teppanyanki yang terkenal di ibu kota.
"Kena lebih berhati-hati di mana-mana. Saya sangat sedih kerana ini adalah salah satu cawangan Teppanyanki yang terkenal. Ketika saya sedang makan, boleh pula dua ekor tikus ini keluar," ujar wanita itu di media sosial Instagram miliknya.
Malah, dia juga sangat kecewa dengan sikap tidak endah pekerja di kedai itu yang mana tidak membuat sebarang tindakan selepas dia melaporkan dua ekor tikus sedang berlegar-legar di premis tersebut.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian itu tetapi ia dipercayai berlaku pada Isnin.
Ekoran kejadian itu, seorang pengguna Twitter Azwin Shafinaz meminta pihak berkenaan supaya tidak mengambil mudah perkara itu kerana air kencing tikus boleh menyebabkan kematian kepada manusia.
"Lebih menjijikkan ia berlaku semasa premis sedang beroperasi dan pelanggan menjamu selara.
"Pelanggan itu memberitahu pekerja tentang perkara tersebut, tetapi apa yang mereka lakukan? Mereka hanya memandang dan ketawa! Bukannya menutup operasi! Tetapi ketawa," kata Azwin.
Perasaan marah dan kecewa turut diluahkan oleh warganet yang memberi respons terhadap ciapan Azwin dengan menyuarakan pendapat bahawa kedai yang nampak mewah tidak semestinya bersih.
"Betullah cakap kawan saya, jangan ingat tempat “mewah mewah” ni bersih sangat!!!," komen pengguna Twitter, ridzuan_rosdi.
"Tempat mewah ni sebenarnya bukannya bersih sangat pun. Dulu pernah pergi restoran mewah sekali dengan sepupu. Ambil kerusi lebih dekat tepi sebab kerusi tidak cukup. Tiba tiba ada lipas merayap atas tangan. Terus tak ada mood nak makan situ," kata pengguna Twitter, MeliaNatasyaaa.
"Sepanjang kerja Food & Beverages (makanan dan minuman) sebelum ini, ada dua restoran yang aku pernah kerja terpaksa tutup kedai sebab masalah tikus yang tak boleh dikawal walaupun pestcontrol (kawalan serangga) selalu datang. Lagipun KL adalah 'syurga' untuk tikus. KLCC pun tak terkecuali," komen apeinhd di ciapan itu.
"Kawasan kedai ini memang kotor. Dua bulan lalu saya pergi sini, banyak gila lipas kecil kecil. Dah beritahu pun mereka buat tak tahu. Itu kali terakhir saya makan situ," kata Gorgxous_.
"Terjumpa sekali di Teppanyaki Midvalley, sedap tak terkata la teppan-nya. Tengah makan, tikus lalu depan. Terus inform MOD tapi dia ambil mudah dan cakap “oh yeke? Terima kasih ye maklumkan dan maaf” Hanya itu. Tikusnya dah la besar!," komen pengguna Twitter, Sassharose.
Majoriti sudah menghubungi pihak restoran tersebut namun tiada maklum balas diberikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram