Bunuh keluarga, diri sendiri kerana kad vaksin palsu


  • Benua
  • Rabu, 08 Dis 2021

POLIS dipanggil ke rumah itu selepas dimaklumkan tentang penemuan beberapa mayat. — Agensi
SEORANG lelaki di Jerman disyaki membunuh keluarganya sebelum membunuh diri akibat memalsukan sijil vaksinasi Covid-19.

Mayat kesemua lima mangsa ditemui dengan kesan tembakan dan tikaman di luar rumah keluarga mereka di Koenigs Wusterhausen, di luar Berlin, pada Sabtu.

Polis dipanggil ke rumah itu selepas dimaklumkan oleh saksi yang melihat beberapa tubuh tidak bernyawa.

Berdasarkan nota yang ditemui pegawai penyiasat, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa telah memalsukan sijil vaksin untuk isterinya namun majikan isterinya mengesan penipuan itu dan merancang untuk melakukan penyiasatan.

Akibat itu, pasangan tersebut takut mereka akan ditangkap dan kehilangan hak penjagaan anak mereka, kata pendakwa raya Gernot Bantleton kepada agensi berita Jerman.

Penyiasat kes itu mengesyaki lelaki itu membunuh isteri dan anak-anaknya, dan kemudian menembak mati dirinya sendiri.

Sepucuk pistol turut ditemui di dalam rumah keluarga itu, tetapi tidak jelas sama ada ia adalah senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bunuh, vaksin, Sijil vaksin, Covid-19, Jerman