De Jong gugat gandingan 'McFred'


  • Podium
  • Rabu, 08 Dis 2021

DE Jong (kiri) menjadi buruan Man United pada Januari kelak. — AFP

MESKIPUN Ralf Rangnick hanya diberi masa selama enam bulan untuk menguruskan Manchester United, namun pihak pengurusan kelab itu bersedia memberikan dana berjumlah 100 juta pound kepada beliau pada jendela perpindahan musim sejuk atau Januari kelak.

Bukan satu rahsia lagi, kelemahan Man United terletak di bahagian tengah dan terlalu bergantung kepada Scott McTominay serta Fred sebagai 'double pivot'.

Sewaktu era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer, posisi tersebut mudah dieksploitasi oleh pihak lawan dan menyumbang kepada kekalahan Man United musim ini.

Rangnick tentunya tidak mahu perkara sama berlaku dan bersedia membawa masuk pemain tengah baharu bagi memperkuatkan skuad tersebut.

Sebelum ini, Rangnick dikhabarkan mahu membawa masuk pemain RB Leipzig, Amadou Haidara dan kali ini, beliau dilaporkan ingin mendapatkan khidmat pemain Barcelona, Frenkie De Jong.

Sejak berpindah ke Barcelona pada 2019 dengan nilai perpindahan sebanyak 65 juta pound (RM363 juta), De Jong mengalami turun naik di Nou Camp.

Bagaimanapun, di bawah pengurus baharu, Xavi, De Jong nampaknya menjadi tonggak utama dalam perancangan pasukan itu.

Xavi sebelum ini pernah menegaskan De Jong tidak akan dijual kerana pemain itu merupakan watak penting dalam skuad Barcelona.

Namun, menurut laporan El Nacional, Presiden Barcelona, Joan Laporta berkemungkinan akan menjual De Jong bagi mendapatkan dana tambahan sebelum kelab itu boleh membeli pemain baharu.

"Kelab sedang bekerja keras untuk memperkuatkan pasukan pada Januari. Jika pemain baharu tiba, seseorang perlu pergi," kata Xavi baru-baru ini.

Selain itu, laporan media Sepanyol mendakwa Rangnick bersedia menawarkan 47 juta pound (RM263 juta) kepada Barcelona bagi mendapatkan De Jong.

Jika De Jong berhijrah ke Old Trafford, dia akan bersatu semula dengan bekas rakan sepasukannya di Ajax Amsterdam iaitu Donny van de Beek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram