SINDIKET pembuatan duit palsu dikatakan semakin bijak mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa selepas didakwa berhasil memasukkan refleksi cahaya pendarfluor kehijauan yang seakan-akan sama seperti duit asli.
Pendedahan itu dibuat seorang pengguna Facebook menggunakan nama Izzad di laman Facebook Port Dickson Area (official) dengan menunjukkan rakaman video perbandingan antara wang palsu dan wang sebenar menggunakan not RM100.
VIDEO tular perbandingan duit palsu dan asli yang dikongsikan di Facebook. — Facebook
Ketika dihubungi Majoriti, peniaga pasar malam di Port Dickson, Negeri Sembilan itu berkata, dia menerima wang kertas palsu itu daripada seorang pelanggan baru-baru ini.
"Saya terkejut apabila pelanggan itu bagi duit RM100 tapi tidak bersangka buruk. Namun apabila disemak, ternyata duit ini duit palsu.
"Memang tak dapat kesan kerana persamaan duit palsu dan duit sebenar ini hampir 93 peratus sama," dakwanya kesal sambil memberitahu, dia sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Sementara itu, menerusi video tular tersebut, lelaki tersebut mendakwa duit kertas RM100 palsu itu mengeluarkan cahaya reflektif kehijauan pada angka 100 di bahagian cetakan Gunung Kinabalu, tulisan dan logo Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, cahaya pendarflour itu kelihatan jika duit kertas not RM100 itu diletakkan di bawah lampu ultraungu (UV).
Dia bagaimanapun berkata, cahaya reflektif sama tidak kelihatan pada bahagian nombor siri seperti duit asli sekali gus membolehkan orang ramai mengenal pasti ketulenan duit tersebut.
TANGKAP layar video menunjukkan nombor siri pada wang kertas asli bercahaya di bawah lampu UV. — Facebook
"Ini duit palsu sekarang ya. Diaorang (sindiket) dah pakar buat duit palsu. Tengok refleksi cahaya timbul. Yang original pun sama ada cahaya tapi lihat nombor siri.
"Duit yang betul ada refleksi warna hijau pada logo dan tulisan BNM selain angka 100 di cetakan gambar Gunung Kinabalu. Selain itu, nombor sirinya juga ada refleksi cahaya.
"Yang ada refleksi cahaya pada nombor siri ini duit original tapi kalau tengok duit palsu, kat nombor siri tidak bercahaya," dakwanya.
Lelaki itu menambah, para pengguna diingatkan supaya berhati-hati kerana not wang palsu itu sukar dibezakan dengan duit kertas sebenar.
"Para peniaga pasar malam khususnya elak ambil duit RM100. Memang tidak cam dah duit palsu dengan duit original sekarang ni.
"Saya dah pergi bank, bank pun bank kata (ini) duit palsu. Jadi ingat kena hati-hati," katanya.
Perkongsian berbentuk video itu tular sejak Isnin selepas mendapat lebih 28,000 perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram