SEORANG pesara tentera maut ditikam anak lelakinya yang mengalami sakit mental dalam satu kejadian amuk di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, Sepang Selangor pada 1 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa seorang warga tempatan berusia 73 tahun maut dipercayai dihentak menggunakan kaki oleh suspek pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebaik menerima laporan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga tempatan sedang mengamuk.
Menurut beliau, anggota kemudiannya bertindak menahan suspek berusia 48 tahun dan tidak bekerja itu di pekarangan rumah.
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah dengan kesan carik pada bahagian dada serta tangan kiri dan kanan disyaki dicederakan suspek ketika sedang mengamuk dengan menggunakan sebilah pisau pemotong kek.
“Keterangan awal saksi iaitu isteri kepada mangsa mendedahkan bahawa anaknya itu mengamuk kerana tidak makan ubat penenang yang diberikan oleh hospital secara berjadual.
"Siasatan awal mendapati mangsa menghidap penyakit anemia, sawan dan tidak bergerak aktif akibat sakit tua manakala suspek merupakan seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan menerima rawatan di Klinik Psikiatrik Hospital Banting," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wan Kamarul Azran berkata, dalam kejadian itu, suspek juga cuba mencederakan ibunya namun wanita berusia 67 tahun itu sempat melarikan diri.
Jelasnya, pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Forensik di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau pemotong kek dan kesan darah.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan hasil daripada bedah siasat mendapati penyebab kematian adalah akibat hentakan di bahagian muka yang menyebabkan keretakan pada tengkorak,” ujarnya.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram