Jumpa mayat wanita kena ikat sebelum dikelar di Sungai Nibong, polis buru lelaki Bangladesh bernama Jotu


  • 112
  • Isnin, 06 Dis 2021

MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. — Gambar ihsan PDRM

MAYAT seorang wanita warga Indonesia ditemukan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher serta beberapa bahagian badan dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Sri Nipah, Sungai Nibong, Georgetown, Pulau Pinang malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mayat wanita berusia 45 tahun itu ditemukan pada 11.30 malam oleh dua lelaki warga Bangladesh yang menyewa rumah tersebut sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada polis.

"Rumah itu disewa tiga lelaki Bangladesh namun seorang daripadanya telah melarikan diri dan menurut dua rakannya (penyewa rumah) mereka terdengar bunyi pertengkaran di dalam bilik antara mangsa dan suspek lelaki pada 7.30 pagi semalam.

"Dua lelaki itu bagaimanapun terus keluar bekerja (buruh binaan) dan selepas pulang ke rumah pada waktu malam mereka ternampak mayat seorang wanita berlumuran darah di dalam bilik tersebut sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita di Georgetown pada Isnin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas mayat wanita itu, polis menemui kesan kelar di bahagian leher sepanjang 13 sentimeter dan bahagian perut, dada serta belakang telinga malah polis turut menemui dua bilah pisau berhampiran mayat tersebut dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Soffian berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui kesan ikatan tali pada bahagian pergelangan tangan dan kaki mangsa serta polis tidak menolak kemungkinan wanita tersebut diikat terlebih dahulu sebelum dibunuh namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, mangsa dipercayai mati dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Setakat ini polis menahan dua lelaki yang menyewa rumah itu bagi membantu siasatan dan usaha mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Jotu dan berusia 37 tahun sedang giat dijalankan, kami percaya dia yang bekerja sebagai buruh tapak pembinaan masih berada di sekitar negeri ini.

"Polis menemui beberapa dokumen seperti pasport dipercayai milik mangsa dan kami juga masih menjalankan siasatan lanjut termasuk hubungan si mati dan lelaki tersebut dan mengapa dia berada di situ (rumah)," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu boleh menyalurkannya kepada polis. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram