Gagal dapat Mintah, Selangor intai penggempur dari Borneo?


  • Podium
  • Isnin, 06 Dis 2021

AKSI Uche (kiri) ketika mewakili Sarawak United (jersi biru) bertemu Selangor FC II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada aksi Liga Premier 2021. — Facebook/Sarawak United FC

SKUAD Selangor FC dilaporkan masih memburu pengganti peledak berbisa, Ifedayo Olusegun yang sah kembali ke pangkuan Melaka United musim depan.

Terbaharu, skuad The Red Giant dikatakan sedang mengintai khidmat penggempur dari Sarawak United, Uche Agba bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ifedayo.

Difahamkan, ia rentetan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu tidak berhasil mendapatkan tanda tangan penyerang import Terengganu FC, Jordan Mintah yang dikhabarkan membuat keputusan muktamad untuk kekal bersama kelab dari Pantai Timur tersebut untuk sekurang-kurangnya selama semusim lagi musim depan.

Berdasarkan prestasi semasa musim ini, Uche berjaya mencetak 14 gol dalam Liga Premier 2021, sekali gus menjadikannya antara tiga penjaring terbanyak dalam kancah domestik selepas Mintah (16 gol) dan Fernando Rodriguez (JDT II) dengan 15 gol.

Secara keseluruhan, Uche juga sudah melakarkan 19 gol dalam 68 perlawanan sepanjang kariernya bersama The Gloden Hornbill.

Malah, tonggak Sarawak United itu turut tersenarai sebagai antara 10 calon pemain import terbaik pada Anugerah Bola Kebangsaan 2021 (ABK) anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini.

Prestasi membanggakan Uche itu menghangatkan lagi spekulasi dalam kalangan peminat skuad Gergasi Merah yang menyifatkan penyerang berusia 35 tahun itu calon paling sesuai menggantikan tempat Ifedayo.

Majoriti difahamkan, penyerang import kelahiran Nigeria itu juga berura-ura mahu mencari destinasi baharu gara-gara masalah tunggakan gaji bersama Sarawak United pada musim ini.

Begitupun, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan Selangor FC berhubung hasrat mendapatkan tanda tangan Uche setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram