Kemiskinan keluarga punca ramai berhenti sekolah — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 05 Dis 2021

BAGI tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021, jumlah keseluruhan murid yang berhenti sekolah adalah seramai 21,316 orang atau 0.22 peratus murid.

KEMISKINAN keluarga merupakan punca utama mengapa ramai pelajar tidak dapat meneruskan pembelajaran dan terpaksa berhenti sekolah, kata pakar pendidikan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda pada Mac tahun lalu, ramai ibu bapa kehilangan pekerjaan menyebabkan pendapatan keluarga merosot teruk.

"Berdasarkan kajian pendidikan, keciciran pendidikan biasanya sangat dipengaruhi oleh faktor kemiskinan keluarga.

"Kajian oleh pasukan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Malaysia pada bulan Ogos 2020 bertajuk 'Families on the Edge' melaporkan perbelanjaan keluarga untuk tujuan pendidikan anak-anak adalah yang paling tinggi dipotong oleh keluarga B40 di bandar.

"Misalnya di Kuala Lumpur, pemotongan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak telah dipotong sehingga 84 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu keciciran pendidikan yang dibentangkan di Parlimen oleh KPM.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad menjelaskan, bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021, jumlah keseluruhan murid yang berhenti sekolah adalah seramai 21,316 orang atau 0.22 peratus murid.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, faktor motivasi murid-murid yang merosot juga menjadi punca peningkatan jumlah keciciran pendidikan, selain terdapat pelajar yang mengambil upah bekerja secara harian sepanjang pandemik ini yang menyebabkan mereka hilang fokus dan semangat untuk meneruskan persekolahan.

"Selain itu, faktor aspirasi ibubapa yang rendah terhadap pendidikan anak-anak juga boleh menyebabkan anak-anak hilang fokus dan akhirnya berhenti sekolah.

"Apabila ibubapa sendiri tidak lagi mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka, keciciran pendidikan pasti akan berlaku," ujarnya.

Tambahnya, badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia sebelum ini pernah mengeluarkan amaran bahawa keciciran pendidikan yang besar akan berlaku di sesebuah negara jika sistem pendidikan negara itu tidak memantau isu 'lost generation' dan 'learning lost'.

Malangnya, kata Anuar, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak melakukan sebarang usaha atau program khusus untuk memantau dan mengawal masalah tersebut.

"Apa yang sepatutnya dilakukan oleh KPM sejak Mac 2020 ialah mewujudkan badan khas diperingkat kementerian untuk memantau dan memastikan isu keciciran pendidikan tidak meningkat.

"Antaranya dengan menyediakan bantuan kewangan pendidikan kepada anak-anak keluarga B40, bantuan makan untuk kanak-kanak miskin dan bantuan khidmat nasihat dan kaunseling kepada ibubapa dan murid-murid yang dikenal pasti tidak mahu meneruskan persekolahan mereka,"

Justeru, beliau menyarankan KPM supaya segera melakukan Pelan Pemulihan Pendidikan untuk menangani isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram