KEJADIAN budak perempuan yang memakai uniform sekolah rendah sedang mengutip sampah mendapat perhatian simpati warganet di media sosial.
Gelagat budak perempuan itu sempat dirakam oleh pengguna Tiktok yang bernama mizijohari yang ketika itu sedang dalam perjalanan untuk membuat penghantaran barang.
Video yang berdurasi 52 saat itu menunjukkan budak sekolah itu sedang mencari buku mewarna di tempat pembuangan kertas di Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah.
"Ada tak jumpa buku dekat situ," tanya mizijohari kepada budak perempuan itu di video TikTok itu.
"Tiada buku bang," jawab budak itu yang dilihat bersama seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa adik budak perempuan itu.
Pengguna media sosial yang menonton video itu rata-ratanya menyatakan rasa simpati dan ingin membantu kanak-kanak itu membeli peralatan alat tulis kerana mereka faham bukan semua orang mampu untuk membeli alatan itu.
"Aku pun pernah merasa mak ayah duit tiada, yuran sekolah pun tidak boleh bayar," komen AllahWithUs.
"Boleh tolong dapatkan di mana adik ni duduk saya nak bantu. Tolong kuasa netizen (warganet) Malaysia," kata user8149425167578.
Dalam video yang berlainan, mizijohari berkongsi di TikToknya yang dia membelikan budak-budak tersebut alat tulis untuk adik beradik itu gunakan bersama.
Tindakan pemuda itu dipuji oleh warganet lain dan mereka berterima kasih kepada lelaki itu kerana menjadi wakil untuk membantu budak-budak itu.
"Terima kasih bro, semoga Allah panjangkan umur dan murah rezeki. Menangis aku, terima kasih ya ALLAH," komen dari pengguna TikTok agferdy.
"Kalau budak ni hebat dalam seni dia. Andalah yang mulakan," kata rzm_axia di hantaran kedua mizijohari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram