Bot tambang ganti feri di Pasir Kelang, Kuala Krai


  • Massa
  • Ahad, 05 Dis 2021

PENDUDUK di Kuala Krai menggunakan feri sebagai pengangkutan utama menghubungkan mereka dengan bandar berdekatan. — Blogspot

ARUS deras Sungai Kelantan, Pasir Kelang menyebabkan perkhidmatan feri dihentikan seketika operasinya dan digantikan dengan pengangkutan bot tambang.

Pemandu bot dan feri Koperasi Pasir Kelang Berhad, Amirul Ashraf Zamrim, 27, berkata perkhidmatan bot tambang terpaksa digunakan untuk menyeberangi sungai sejak tiga hari lepas berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat dan trend semasa paras air sungai.

"Keadaan arus deras sungai menyukarkan kami untuk membawa kenderaan seperti kereta dan motosikal melalui perkhidmatan feri yang digunakan oleh penduduk sejak sekian lama.

"Oleh itu, apabila musim tengkujuh perkhidmatan feri terpaksa dihentikan operasi sehingga satu atau dua minggu bergantung kepada bacaan paras air sungai serta cuaca dan digantikan dengan bot tambang," katanya kepada pemberita semasa ditemui di jeti Kampung Pasir Era pada Ahad.

Mengulas lanjut, Amirul Ashraf berkata sejak menggunakan perkhidmatan bot itu, beliau akan berulang-alik lebih 50 kali untuk menyeberangi sungai dengan jarak antara satu jeti ke satu jeti lebih kurang 250 meter.

"Bot tambang ini hanya boleh memuatkan 10 penumpang serta dua motosikal dalam satu-satu masa sahaja dengan tambang yang dikenakan adalah RM1.

"Jika sebelum ini, feri beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, namun apabila menggunakan bot tambang ini waktu operasi bermula 7 pagi hingga 7 malam sahaja," katanya.

Beliau berkata selain menggunakan perkhidmatan bot tambang, pengguna juga boleh menggunakan jalan darat untuk ke Pekan Tanah Merah atau Kuala Krai yang mengambil masa selama dua jam.

Sementara itu, Norazwina Husin, 20, yang tinggal di Kampung Tako berkata apabila musim tengkujuh tiba rata-rata penduduk terpaksa menggunakan jalan darat yang agak jauh sehingga menyebabkan segala urusan penting perlu dirancang lebih awal kerana masa perjalanan yang diambil untuk ke bandar Kuala Krai agak lama.

"Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat membina jambatan yang sesuai dengan segera untuk merentasi sungai ini," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram