KERAJAAN harus telus dalam menjelaskan punca kematian akibat Covid-19 yang semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu, kata seorang aktivis.
Aktivis masyakarat, Badrul Hisham Shaharin menegaskan, kerajaan tidak boleh terus memberi alasan mudah untuk menjustifikasikan punca peningkatan kes kematian di negara ini.
"Kerajaan perlu menjelaskan dan bukan sekadar melepaskan diri dengan mengatakan ia 'back log' dan lain-lain alasan.
"Kadar kematian harus diumumkan, jangan ada usaha penafian demi mencipta persepsi sudah selesa. Penciptaan persepsi palsu hanya akan mengelirukan dan melalaikan," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, berdasarkan data di laman web https://covid-19.moh.gov.my/, kadar kematian terkumpul berkaitan Covid-19 pada 16 Ogos 2021, iaitu pada tarikh bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meletak jawatan, adalah sebanyak 12,784 orang.
Angka itu bersamaan dengan purata kematian sebanyak 23 orang dalam sehari.
Tambahnya, data semasa di https://covidnow.moh.gov.my/ pada hari ini mencatatkan kadar kematian terkumpul berjumlah 36,719 orang.
Ini, katanya, menunjukkan pertambahan sebanyak 23,935 orang kematian sejak 17 Ogos lalu hingga ke hari ini dengan purata kematian harian berjumlah 215 orang sehari.
Justeru, beliau meminta kerajaan supaya tidak lagi berdolak-dalih dalam menerangkan punca peningkatan kes kematian akibat Covid-19.
Dalam pada itu, beliau turut menuntut kerajaan supaya dalam mengelakkan penularan varian Omicron di negara ini.
"Hari ini sempadan negara telah tembus oleh varian Omicron yang lebih mudah tersebar dan tidak boleh dikekang dengan vaksin sedia ada.
"Pada 29 November, Ketua Pengarah Kesihatan membuat penafian mengenai varian Omicron dikesan di Perak apabila tersebar berita kalangan masyarakat mengenainya. Namun 2 Disember Menteri Kesihatan mengesahkan varian Omicron dikesan di Perak.
"26 November Menteri Kesihatan cadang Malaysia tidak benarkan masuk orang dari 7 negara Afrika tetapi hari ini kemasukan tetap berlaku," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram