KPM perlu beri penjelasan jika ada kes Covid-19 di sekolah — i-Guru


  • Massa
  • Ahad, 05 Dis 2021

SEKOLAH Seri Puteri di Cyberjaya, Selangor  diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan. — Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera tampil memberi penjelasan sekiranya berlaku penularan Covid-19 di sekolah bagi mengelakkan kebimbangan ibu bapa, saran Mohd Azizee Hasan.

Pada masa sama, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) itu menegaskan, pihak sekolah juga tidak wajar menyembunyikan kes penularan wabak itu, di samping perlu mengambil tindakan segera mengikut prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

"Jika berlaku jangkitan kes di sekolah, pihak sekolah perlu segera melaporkan kepada pejabat kesihatan daerah, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) untuk tindakan susulan.

"Sebarang penutupan operasi sekolah bergantung kepada nasihat dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan SOP yang ditetapkan serta melihat kepada kes," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Azizee berkata, pihaknya meminta ibu bapa supaya tidak terlalu menyalahkan pihak sekolah atau guru sekiranya berlaku penularan Covid-19 di sekolah.

Tegasnya, hal ini disebabkan pihak pengurusan sekolah dan guru-guru telah berusaha melakukan yang terbaik untuk mematuhi SOP.

"Kecuaian beberapa individu dari kalangan guru adalah terpencil dan berkemungkinan guru yang disahkan positif itu adalah kontak rapat kepada individu yang dijangki. Ini sukar dikesan sebab tiada simptom yang jelas," katanya.

Dalam hal ini, katanya, semua pihak perlu patuh kepada SOP dan ujian saringan yang kerap dilakukan untuk mengenal pasti jangkitan wabak itu diharapkan dapat memudahkan tindakan.

"Ibu bapa perlu berikan kerjasama dengan pihak pengurusan sekolah bagi memudahkan sebarang urusan jika berlaku kes jangkitan.

"Kerjasama yang baik ini bagi mengelakkan sikap saling menyalah antara satu sama lain, sedangkan kepentingan dan keselamatan pelajar perlu diutamakan," katanya.

Terdahulu, seorang guru di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor meluahkan rasa sedih dan kecewa rentetan kejadian penularan Covid-19 di sekolah berasrama penuh itu.

Menerusi luahan guru tersebut yang tular di WhatsApp, dia berkata, guru-guru adalah antara insan-insan yang paling ketat menjaga SOP kerana mereka sedar mereka menggalas tanggungjawab menjaga anak orang di asrama.

Katanya, mereka adalah antara insan-insan yang paling susah hati apabila murid tidak dapat belajar.

Dia turut menzahirkan rasa risau terhadap masa depan murid sekolah itu, lantaran melihatkan ada guru yang dimaki dan diugut oleh ibu bapa selain menerima tohmahan daripada golongan itu.

Dalam pada itu, Sekolah Seri Puteri diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, arahan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

"Kluster Covid-19 yang melibatkan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya ini dinamakan Kluster Persiaran Tasik,” katanya.

Pada Sabtu, Perak turut merekodkan kes Covid-19 di dua buah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsa dan Bagan Datuk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

i-Guru, Mohd Azizee Hasan