SATU mesej tular di Twitter mendakwa program Wanita Bangkit Berniaga dan MyKasih Kapital adalah "skim" bertujuan memperkayakan syarikat penaja dengan memaksa pemohon membeli buku.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu (1 Disember), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyangkal dakwaan itu, dengan menyatakan bahawa program itu adalah kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.
"Pemilihan syarikat sebagai rakan strategik adalah berdasarkan kapasiti mereka untuk mencipta ribuan jutawan berjaya," kata Kementerian itu, seperti dilaporkan Bernama.
Matlamat kerjasama strategik itu adalah untuk membantu wanita tempatan yang pendapatan mereka telah terjejas akibat pandemik Covid-19, tambahnya.
"Kami menafikan dakwaan bahawa peserta dipaksa untuk membeli buku. Mereka diberi pilihan untuk memuat turun buku elektronik secara percuma atau mendapatkan salinan fizikal. Mereka hanya dicaj untuk kos penghantaran," kata KPWKM. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram