SEEKOR anak gajah diberi peluang kedua untuk hidup selepas berjaya diselamatkan pencinta haiwan menggunakan kaedah pertolongan cemas pemulihan sistem jantung (kardio) CPR.
Aktivis haiwan tersebut, Mana Srivate mengakui tidak pernah memberikan pertolongan kecemasan itu kepada mana-mana hidupan lain selain manusia.
Namun dalam satu kejadian tidak disangka, Mana terpanggil untuk berbuat demikian ketika dia dalam perjalanan pulang dari wilayah Chanthaburi, Thailand.
"Semasa melalui sebatang jalan, saya ternampak ada seekor anak gajah tidak sedarkan diri selepas dilanggar sebuah motosikal," katanya.
Mana berkata, dia hanya mengagak di mana kedudukan jantung mamalia itu sebelum memberikan bantuan CPR.
"Saya cuba meneka kedudukan jantung gajah berdasarkan teori anatomi tubuh manusia. Selain itu, saya turut merujuk satu video online berkaitan pemberian CPR," katanya ketika dihubungi Reuters.
Menerusi satu video tular di laman sosial pada Isnin, Mana dilihat memberikan bantuan CPR kepada anak gajah yang terbaring di atas jalan raya akibat pelanggaran itu.
Pada masa sama, rakan Mana yang tidak jauh daripadanya dilihat merawat penunggang motosikal yang tercedera
Kedua-duanya selamat dalam insiden pelanggaran itu serta tidak mengalami kecederaan serius. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram