Malaysia harap Omicron tak jejas jemaah haji musim depan


  • Primer
  • Rabu, 01 Dis 2021

IDRIS Ahmad berharap agar jangkitan varian Omicron tidak melibatkan rakyat negara ini, memandangkan jemaah Malaysia tidak dapat menunaikan ibadat haji pada musim lepas. — Agensi

MALAYSIA berharap jangkitan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 yang dikenali sebagai Omicron, tidak akan menjejaskan bakal jemaah dari negara ini untuk menunaikan ibadah haji pada musim depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad turut berharap agar jangkitan varian baharu itu tidak melibatkan rakyat negara ini, memandangkan jemaah Malaysia tidak dapat menunaikan ibadat haji pada musim lepas.

“Kita harapkan benda itu (Omicron) tidak melibatkan negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Mutiara Rini di Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada kerajaan akan mengenakan syarat yang ketat kepada bakal jemaah haji atau sebaliknya susulan terdapat varian baharu Covid-19.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Selasa berkata, Omicron mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta, namun setakat ini belum dipastikan sejauh mana ‘ganasnya’ (virulent) virus itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jemaah, haji, Menteri Agama, Omicron, Covid-19