Tutup kepala dalam tandas, antara adab, mitos atau sunnah


  • Mukmin
  • Khamis, 02 Dis 2021

HUKUM menutup kepala ketika seseorang masuk ke dalam tandas adalah sunat. — Gambar hiasan/Agensi

NAK masuk tandas tu, tutuplah kepala dulu sebab nanti syaitan letak najis dekat kepala kita.”

Mesti persoalan ini pernah timbul semasa kita membesar yang mana sebelum masuk tandas kita dikehendaki menutup kepala, namun adakah perlakuan itu dikira sebagai adab masuk ke tandas ataupun sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi laman sesawangnya berkata, perbuatan menutup kepala ini adalah perbuatan Saidina Abu Bakr al-Siddiq RA yang disebutkan dalam beberapa athar yang sahih.

"Akan tetapi yang lebih tepatnya adalah, beliau menutup kepala apabila masuk ke dalam tandas atau bilik air. Di antara riwayat yang menyatakan hal ini adalah sebuah athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah," tambah agensi itu.

Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa riwayat lain yang turut menyentuh berkenaan bab menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas ini yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.

"Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada A’ishah R.anha beliau berkata: adalah Nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas baginda menutup kepalanya. [Riwayat Al-Baihaqi (464)]," kata kenyataan agensi itu menerusi laman sesawangnya dalam pautan Al-Kafi Al-Fatawi.

PMWP berpandangan bahawa hukum menutup kepala ketika seseorang masuk ke dalam tandas adalah mustahab iaitu sunat kerana berdasarkan athar yang sahih daripada Abu Bakr al-Siddiq di samping mengambil kira pandangan para ulama yang berpegang bahawa hadis dhoif juga boleh diamalkan di dalam bab fadhail al-a’mal (fadhilat-fadhilat amal).

Dalam pada itu, pendakwah bebas, Ustaz Ad-Dien Abdul Kadir menjelaskan di laman Twitternya, persoalan bahawa syaitan akan lumur najis di kepala kita ketika dalam tandas adalah mitos sahaja.

"Kena lumur najis dengan syaitan tu bukan sebab tak tutup kepala masuk tandas tapi sebab tak bangun subuh.

"Kata Nabi, ketika melihat lelaki tidur hingga terlepas subuh yang bermaksud: itu lelaki yang syaitan telah kencing di telinganya.” (Riwayat al-Bukhari). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram