Maszlee Malik umum sertai PKR


  • Politik
  • Sabtu, 27 Nov 2021

Maszlee (tiga dari kiri) menerima replika kad keahlian PKR daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) pada Siri Jelajah Presiden PKR ke Johor di Dewan JKKK Kampung Baru Machap pada Sabtu. — Bernama

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pada Sabtu mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama kira-kira 500 penyokong setianya.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu mengumumkan keputusan tersebut ketika berucap pada program Jelajah Presiden yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi Pakatan Harapan di Machap, Kluang.

Maszlee, yang juga bekas Menteri Pendidikan, menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas keahliannya terhenti serta-merta apabila bertindak duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei 2020.

Beliau menganggap keputusannya menyertai PKR bagai 'sirih pulang ke gagang' kerana sebelum ini, beliau pernah menjadi ahli parti itu yang didaftarkan pada 2017 melalui Cabang Ampang.

"Saya terpanggil untuk menyertai PKR untuk melakukan perubahan setelah parti ini berada dalam keadaan populariti yang tidak begitu menggalakkan terutama setelah tewas dalam Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya dalam sidang media selepas program itu.

Anwar pula berkata, kemasukan Maszlee ke parti itu merupakan satu perkembangan yang baik dan pada masa sama, percaya kepada prestasinya untuk membantu parti.

Pada 29 Mei 2020, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu sidang media khas berkata bekas pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak dipecat daripada parti itu sebaliknya terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti.

Hamzah dipetik sebagai berkata, keahlian Dr Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Maszlee, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram