Tiga bersaudara direman bantu siasatan kes OKU maut dicekik di Sungai Senam


PERMOHONAN reman pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TIGA bersaudara direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang maut dipercayai akibat dicekik dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby, Sungai Senam dalam kejadian di Ipoh, Khamis.

Perintah reman ke atas kesemua lelaki berusia 34 hingga 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas menerima permohonan pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan lelaki pertama adalah seorang peniaga berusia 34 tahun, lelaki kedua adalah bapanya yang merupakan seorang pesara berusia 60 tahun manakala lelaki ketiga pula seorang peniaga berusia 47 tahun yang juga saudara anak-beranak tersebut.

Terdahulu, kesemua mereka tiba di Mahkamah Majistret Ipoh kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi polis.

Pada Khamis, seorang lelaki, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dipercayai akibat dicekik semasa bergelut dalam pergaduhan dengan tiga lelaki kerana dikatakan mencuri 'portable speaker'.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian bermula apabila seorang peniaga lelaki berusia 34 tahun mencari Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di gerai berkenaan pada kira-kira pukul 7 pagi kerana dikatakan telah mencuri 'portable speaker' miliknya.

Beliau berkata kira-kira dua jam selepas itu berlaku pergelutan antara Muhammad Noor bersama peniaga berkenaan, sebelum pergaduhan disertai dua lagi lelaki berusia 47 dan 60 tahun, yang akhirnya membawa kepada kematian Muhammad Noor.

"Polis menahan ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan dan merampas sebilah pisau lipat di tempat kejadian," katanya pada sidang media Program Profil Kepolisan Tinggi (HPP) sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersil Tahun 2021 di sebuah pusat membeli belah pada Khamis.

Katanya si mati juga dikatakan agak kurang siuman kerana pada sehari sebelum kejadian dia dilihat menari-nari di hadapan kedai tempat kejadian dan memasang speaker dengan kuat hingga hampir berlaku pergaduhan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram