TATKALA ramai yang menghadapi pelbagai kesusahan akibat pandemik Covid-19, terdapat sindiket yang mengambil kesempatan untuk mencari kesenangan dengan cara menipu orang ramai yang ingin mencari pembantu rumah warga Indonesia.
Melaungkan amaran itu, mangsa yang enggan dikenali berkata, caj yang dikenakan sindiket itu adalah antara RM4,000 hingga RM6,000, manakala modus operandi adalah dengan menghantar pembantu rumah yang akan tinggal selama dua hingga tiga malam sahaja di rumah majikan.
"Kemudian melarikan diri di tengah malam atau awal pagi sewaktu majikan sedang tidur.
"Tujuannya adalah untuk membolehkan ejen sindiket ini menghantar pembantu rumah tersebut ke tempat lain pula dengan modus operandi yang sama, sekali lagi dengan caj RM4,000 hingga RM6,000.
"Senang betul ejen dan sindiket ini dapat duit dari orang Malaysia," dakwanya menerusi perkongsian di laman Facebook.
Pada masa sama, mangsa berkenaan mengingatkan orang ramai supaya memberi pesan kepada sanak saudara supaya tidak terpedaya tipu daya manusia yang tidak berakhlak dan tidak bermaruah seperti itu.
Tegasnya, membina kehidupan menerusi wang tidak halal dan penipuan jahat bukan budaya orang Malaysia.
"Saya berkongsi gambar muka orang ini yang berasal dari Indonesia yang mengikut sumber sedang berada di Dungun, Terengganu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram