Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak


  • Politik
  • Sabtu, 27 Nov 2021

MUHYIDDIN memaklumkan Bersatu menghormati pandangan pimpinan GPS. — Gambar hiasan

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan bulan depan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata keputusan itu dibuat, selepas sesi perbincangan bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

"Bersatu tidak akan bertanding di Sarawak kerana itu hasrat kepada pimpinan parti GPS, walaupun kita ada tempat tertentu yang kita percaya kita boleh menang, langkah ini supaya parti yang sudah ada di Sarawak menang dengan cemerlang.

"Jadi untuk menghormati pandangan pimpinan itu yang pasti saya yakin GPS mempunyai kekuatan dan GPS adalah parti rakan dalam kerajaan yang ada sewaktu saya berkhidmat...jadi kita menghormati pandangan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Lenga, di Muar, Johor pada Sabtu.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata Abang Johari memberi bayangan bahawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau menyatakan mungkin akan memberi pertimbangan kepada mana-mana parti lain untuk menyertai bersama GPS termasuk PN. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Sarawak, Muhyiddin Yassin, Bersatu, GPS, PRU15