PRU15 tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat — Mahdzir


  • Politik
  • Sabtu, 27 Nov 2021

MAHDZIR berucap ketika merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (Skod) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Naka, Padang Terap, pada Sabtu.

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ketika tumpuan semua pihak perlu difokuskan terhadap usaha menangani pandemik Covid-19.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini pelbagai usaha masih perlu dilakukan untuk melandaikan lagi kes Covid-19.

"Saya kira elok kita landaikan lagi Covid-19 kerana terdapat pelbagai masalah melanda negara dalam tempoh dua tahun ini. Lagi pun sekarang ini kita dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas.

"Dua perkara ini perlu diberi penekanan dan selepas itu kalau keadaan dah selesa, eloklah kita fikirkan nak buat PRU," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (Skod) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Naka, Padang Terap, Kedah pada Sabtu.

Pada masa yang sama, menurut Mahdzir, semua pihak turut perlu memberi fokus terhadap pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik tersebut.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa agar PRU15 dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat kerana mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Kementerian Kesihatan berpandangan tidak sesuai untuk PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Ini memandangkan penularan kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan selain berdepan peningkatan kadar kemasukan ke hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram