Najib gagal mohon tangguh keputusan rayuan kes SRC


PADA Selasa, Najib memohon kepada Mahkamah Rayuan supaya melapangkan tarikh 8 Dis yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya sabitan dan hukuman kes itu.

MAHKAMAH Rayuan pada Rabu menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan melalui sepucuk surat yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron kepada bekas Perdana Menteri, peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan pihak pendakwaan.

"Dimaklumkan bahawa permohonan pihak perayu (Najib) untuk penangguhan tarikh keputusan adalah tidak dibenarkan. Sehubungan itu, sila pastikan kesemua pihak hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada tarikh yang ditetapkan,” menurut surat berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan perkara itu.

Pada Selasa, Najib memohon kepada Mahkamah Rayuan supaya melapangkan tarikh 8 Dis yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Menurut dokumen yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, Najib memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

"Perayu (Najib) memohon supaya tarikh tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu berikutnya, iaitu dari 13 Dis hingga 17 Dis, atau mana-mana tarikh lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah," katanya.

Menurut dokumen itu, sekembalinya dari Singapura pada 5 Dis, Najib akan dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis dan hanya boleh menghadiri mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa pasukan pendakwaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan tidak membantah penetapan semula tarikh keputusan itu.

Dokumen itu menyatakan bahawa perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi juga ditetapkan untuk disambung semula pada 8 Dis selain Najib turut perlu menghadir perbicaraan kes membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

Menurut dokumen itu, Muhammad Shafee juga perlu berada di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mewakili anak guamnya dalam kes bunuh dari 20 Dis hingga 23 Dis.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 bilion. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram