Halang prosiding kes jenayah, Tommy mohon batal saman Najib


NAJIB mendakwa Tommy dan kerajaan selaku defendan, melanggar kuasa dalam jawatan awam.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menerima notis permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Kerajaan Malaysia oleh Datuk Seri Najib Razak.

Kedua-dua pihak membuat permohonan itu atas alasan tindakan bekas Perdana Menteri itu suatu serangan sampingan, bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.

Saman itu difailkan Najib pada 22 Oktober lalu, selepas mendakwa Tommy dan kerajaan selaku defendan, melanggar kuasa dalam jawatan awam, apabila mendakwanya di mahkamah dengan tuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang disertakan afidavit sokongan, menyatakan jika saman Najib diteruskan dan dibicarakan, akan menyebabkan kes jenayah yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Jenayah tergendala.

Menurut Akram, dalam apa keadaan pun, pihak pendakwaan boleh mengemuka keterangan dan bukti mengenai dakwaan salah laku, salah guna proses dengan niat jahat oleh Najib dalam perbicaraan kes jenayah terhadapnya.

"Mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan sub seksyen 376 (1) Kanun Tatacara Jenayah, Peguam Negara Malaysia sebagai Pendakwa Raya mempunyai kuasa yang boleh dilaksanakan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhenti apa-apa prosiding bagi satu kesalahan jenayah.

"Keputusan Pendakwa Raya sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhenti apa-apa prosiding berdasarkan fakta dan keterangan setiap kes dan pada setiap masa Tommy tidak terbabit dalam apa-apa proses berkaitan sebarang siasatan oleh agensi penguatkuasaan dan ia dibuat secara bebas," katanya.

Tambah beliau, tindakan Najib di dalam keadaan kes ienayah terhadapnya sudah dimulakan dan sedang berjalan, suatu percubaan untuk menghalang Pendakwa Raya daripada menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, berdasarkan faktor itu tindakan plaintif adalah suatu tindakan yang tidak boleh dipertahan di mahkamah.

"Plaintif dengan nyata gagal mengemuka fakta dan butiran mencukupi mengenai tindakan salah laku dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dan kecuaian seperti didakwa.

"Kausa tindakan penyalahgunaan proses bukanlah suatu kausa tindakan yang diiktiraf oleh undang-undang.

"Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa berdasarkan pernyataan di atas, jelas tindakan plaintif ini mengaibkan, remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah," ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Najib, 35 tuduhan yang dikenakan terhadapnya, kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sesuatu yang sudah lama dirancang Tommy.

Najib berkata menerusi saman itu, ia selaras dengan rancangan kerajaan ketika itu dan Tommy sebagai sebagai Peguam Negara, menjalankan tugasnya seolah-olah sebagai ejen Pakatan Harapan (PH).

"Seawal tahun 2012, Tommy membentuk pendapat terdapat unsur jenayah kononnya berlaku berkaitan 1MDB yang kononnya membabitkan dirinya.

"Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013, Tommy sudah membuat persiapan untuk menjadi Peguam Negara, sekiranya PH membentuk kerajaan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Najib, saman, tommy, kerajaan, 1MdB, SRC