'Rakyat memang kena buat dua kerja kalau nak hidup selesa!'


PENIAGA akan menaikkan harga barang jika gaji meningkat. — Gambar Bernama

PADA tahun 2015, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah memberitahu yang rakyat sekarang memang perlukan dua kerja untuk atasi kos sara hidup yang tinggi.

Reaksi yang diterima ketika itu memang sudah dijangka apabila ramai yang berang dengan kenyataan tersebut dan menyatakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Namun, seorang pengguna Facebook, Najib Saahari, memberitahu yang itulah penyelesaian sebenar buat rakyat untuk mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi.

"Bila gaji dinaikkan, kos akan meningkat. Siapa akan tanggung kos kenaikan tu? Peniaga akan alih ke pengguna.

"Jadi gaji memang naik tapi harga barang akan naik sama. Kuasa beli meningkat tak bila gaji naik ? Tak meningkat. Jadi akan kembali seperti semula balik," katanya.

Jelas Najib, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat kini adalah untuk mencari pendapatan tambahan dengan cara yang bijak tanpa menganggu kerja hakiki..

Katanya lagi, cuba cari apa yang selalu dilakukan dan cuba jana pendapatan untuk mengelak kerja tambahan itu menjadi satu bebanan.

"Saya ada buat pemerhatian, kebanyakkan keluarga B40 dan M40 perlukan tambahan sebanyak RM500-RM1000 sahaja untuk hidup selesa sedikit.

"Kalau anda jual unit trust dan buat close deal RM30,000 sebulan kan dah dapat tambahan. Kalau buat content writing dan dapat empat ke lima projek pun dah ok.

"Susah tu memang susah sedikit. Baru nak bertapak, memang struggle sikitlah. Cuma sebagai rakyat, memang itulah solusi yang praktikal.

"Kalau nak harapkan kerajaan, memang betul kerajaan boleh naikkan gaji minima cumanya kena ingat inflasi akan naik sama," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ada yang bersetuju dan tidak dengan pandangan yang diberikan itu.

Menurut warganet, jika dua kerja dilakukan dan jumlah kewangan bertambah maka peniaga juga akan mengambil kesempatan kerana kemampuan berbelanja rakyat yang tinggi.

Namun, ada juga yang bersetuju kerana untuk hidup selesa, memang tidak boleh mengharapkan gaji tetap sahaja apatah lagi keperluan juga meningkat mengikut peredaran zaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Netzkorner, Gaji, B40, T20, Dua Kerja