Ini perkara yang pertama kali terjadi di PRN Melaka


  • Politik
  • Sabtu, 20 Nov 2021

PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (kanan) membantu pengundi yang hadir mengimbas kod QR MySejahtera sebelum dibenarkan mengundi di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka. — Bernama

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan beberapa situasi ‘pertama kali’ berlaku, bermula pada hari penamaan calon 8 November lepas.

Melaka melakar sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan ia negeri pertama mengikuti langkah Sabah yang bertukar ketua menteri sebanyak tiga kali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Selain itu, bumi Hang Tuah itu juga buat pertama kali dalam sejarahnya mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya pusat seperti kelaziman sebelum ini.

PRN Melaka ini membariskan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) selain wujud satu Gagasan Bebas yang meliputi 13 calon, buat julung kalinya menyertai proses demokrasi negara.

Pada pilihan raya negeri ini juga, PAS buat pertama kali ‘berkorban’ lambang sendiri dengan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Kali pertama PAS tidak menggunakan lambangnya adalah pada PRU keempat pada 1974 dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada PRU kelima yang diadakan pada 1978.

Parti Gerakan yang sebelum ini menggunakan lambang BN sebelum meninggalkan gabungan itu pada 23 Jun 2018 selepas PRU14, turut menggunakan logo PN pada PRN Melaka.

Mengenai calon pula, Datuk Norhizam Hassan Baktee buat pertama kalinya bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu yang dimenangi pada PRU14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah PN, lalu dipecat oleh DAP.

Melaka juga bakal mencipta sejarah sekiranya Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding menentang Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Zainal Hassan (PH) di DUN Tanjung Bidara, dilantik Ketua Menteri wanita pertama sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan negeri.

Sebelum ini, jawatan Ketua Menteri Melaka telah disandang oleh 12 pemimpin dengan individu pertama adalah Tan Sri Osman Talib, diikuti Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Talib Karim, Datuk Setia Abdul Ghani Ali, Datuk Seri Adib Adam dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Turut tersenarai sebagai bekas Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Seri Idris Haron, Adly Zahari dan terakhir ialah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

PRN yang berlangsung di tengah-tengah pandemik COVID-19 juga menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara diselaraskan dengan beberapa larangan dikenakan termasuk ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram