SEORANG kanak-kanak lapan tahun dari Johor Bahru, Johor yang terkenal selepas menyumbang hasil jualan bukunya untuk tujuan amal kebajikan kini berjaya melakar namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Nama Krishh Haran Nair disenaraikan dalam MBOR apabila menjadi penyumbang termuda Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Kanak-kanak itu menyumbang RM7,000 kepada yayasan berkenaan menerusi hasil jualan buku 14 muka surat tulisannya sendiri berjudul ‘The Mysterious War to the Deep’.
Pencapaian tersebut direkodkan sebagai sumbangan jumlah tertinggi kepada yayasan melalui jualan buku sebagai seorang kanak-kanak.
Krishh yang menerima sijil MBOR dalam satu majlis ringkas di sekolahnya di Sunway International School (SIS), Sunway Iskandar, Johor Bahru pada Rabu lalu berkata, dia berbangga dan bersyukur kerana terpilih masuk dalam MBOR.
Menurutnya, dia kini dalam proses menyiapkan buku keduanya bertajuk ‘Pillar and The Golden Sword’ dan merancang untuk menyumbang kutipan jualan buku berkenaan kepada badan amal.
"Saya berharap untuk menderma wang hasil jualan buku ini nanti kepada anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19," katanya.
TANGKAP layar perkongsian Sultan Ibrahim mengenai penderma cilik, Krishh Haran Nair. — Facebook
Sementara itu, ibunya, R. Jayanthi, 41, berkata, dia turut berbangga dengan pencapaian anak lelakinya itu selain menyatakan penghargaan kepada MBOR atas pengiktirafan tersebut.
Katanya, dia tidak menyangka buku karya anaknya akan mendapat sambutan menggalakkan memandangkan ia hanya tugasan dalam talian ketika perintah kawalan pergerakan baru-baru ini.
"Anak saya seorang yang penyayang dan suka membantu golongan yang kurang bernasib baik," ujarnya.
Sumbangan Krishh mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menghantar wakil Mejar Cina Datuk David Wong bagi pihak istana untuk berjumpa keluarga berkenaan.
Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, Krishh adalah penderma termuda YSIJ.
Baginda turut berkenan merakamkan penghargaan kepada Krishh dan memuji kedua-dua ibu bapanya kerana membesarkannya menjadi seorang anak yang cerdas dan baik hati. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram