CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengimbau nostalgia zaman persekolahannya ketika membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Masjid Tanah, Melaka pagi Sabtu.
Pengerusi Umno Melaka itu memasuki darjah satu di sekolah berkenaan pada tahun 1967 dan kembalinya ke sekolah itu membuatkannya teringat kembali kenangan lama.
"Ketika itu, sekolah ini hanya beratap nipah dan lantainya tanah. Banyak yang saya pelajari di sini.
"Jadi melihat kembali kepada semua memori itu, ia menguatkan lagi tekad saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di Masjid Tanah khususnya di Tanjung Bidara," katanya.
Ab Rauf tiba di pusat pengundian itu pada jam 8.17 pagi dan selesai mengundi pada 8.42 pagi Sabtu.
Ab Rauf menentang Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga bakal Ketua Menteri Melaka jika Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri.
Mas Ermieyati yang juga juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengundi di SK Ramuan Cina Besar.
Seorang lagi calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara adalah wakil Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram