Kerap rogol wanita lepas berhibur kelab malam, polis buru dua lelaki tempatan


  • 112
  • Sabtu, 20 Nov 2021

SATU ciapan di Twitter yang tular berkongsi kedua-dua suspek dipercayai sudah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita lain. — Twitter

DUA lelaki tempatan dikenalpasti sebagai suspek kes rogol seorang wanita selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias, pihaknya kini sedang mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai sudah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita lain.

Perkara itu turut dikongsi dalam satu ciapan di laman sosial Twitter yang tular dipercayai kawan baik mangsa turut memberitahu perbuatan itu dilakukan suspek selepas memasukkan dadah dalam minuman tanpa disedari mangsa.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu mangsa mengalami mabuk dipercayai diberi minuman mengandungi dadah.

"Mangsa dan rakannya kemudian dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota. Mangsa hanya menyedari dirinya dirogol selepas dimaklumkan oleh rakannya itu," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, siasatan dilakukan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Kamaruzaman turut memberitahu beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian atau menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih.

"Tidakan seumpama itu boleh mengganggu siasatan pihak polis.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram