Mak ayah sudah tiada, lelaki sorok dadah RM1.52 juta dalam kilang milik keluarga di Kg Baru Cheras


  • 112
  • Khamis, 18 Nov 2021

YAHAYA menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam dua operasi berasingan dijalankan oleh IPK Kuala Lumpur dalam sidang media pada Khamis. — The Star

TINDAKAN seorang lelaki tempatan menjadikan sebuah premis kilang milik keluarga di Kg Baru Cheras, Kuala Lumpur sebagai markas simpanan dadah membawa padah selepas polis berjaya menahan suspek dalam satu serbuan pada jam 4 petang, Selasa lalu.

Tangkapan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melalui Op Kingfisher.

Timbalan Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan bersama 31.36 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM1.52 juta selain wang tunai bernilai RM200.

Beliau berkata, dadah yang dirampas adalah 20.66 kg ketamin, methamphetamine (7.4kg) dan dadah ekstasi (3.3kg) yang dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan.

"Gudang kilang tersebut sepatutnya untuk simpan bahan binaan tetapi suspek jadikannya sebagai stor penyimpanan dadah," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada petang Khamis.

Ketika ditanya jika ibu bapa suspek mengetahui tentang perbuatannya 'menyalahgunakan' premis kilang itu sebagai stor penyimpanan dadah, Yahaya berkata, kedua-dua telah meninggal dunia dan dia menggunakan kesempatan tersebut untuk melakukan aktiviti jenayahnya.

"Selepas kematian kedua-dua ibu bapanya, kilang berkenaan tidak lagi beroperasi dan suspek mengambil kesempatan menggunakan kilang tersebut menyimpan dadah.

"Ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun tiada rekod jenayah dilaporkan. Dari mana suspek dapat bekalan dadah, kita akan siasat lebih lanjut kerana suspek masih di bawah pengaruh dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram