Budak terjatuh tingkat 16 di Selayang, ibu saudara ada lima rekod jenayah ditahan


  • 112
  • Khamis, 18 Nov 2021

SIASATAN pihak polis mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah. — Gambar hiasan/The Star

SEORANG wanita berusia 36 tahun ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komissioner Polis, Zainal Mohamed Mohamed, wanita berkenaan merupakan ibu saudara kepada mangsa.

"Berdasarkan siasatan pihak polis, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis bagi tujuan permohonan reman.

Jelas Zainal Mohamed lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Nizar Adnan di talian 03-61262222/013-9961892," ujanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan kejadian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas terjatuh terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang, Kuala Lumpur.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira 10.30 pagi, apabila ibu saudaranya sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu, selepas didapati tiada di dalam biliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, ibu saudara, kanak-kanak, jatuh