Pijak anak angkat sampai mati, pekerja pasar raya berdepan hukuman mati


MAHKAMAH menetapkan 20 Januari 2022 untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.— Facebook/Bicara Peluru Betunang Naga Tasik Chini

SEORANG pekerja sebuah pasar raya didakwa di Mahkamah Majistret, Rompin, Pahang pada Khamis atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun pada 11 November lalu.

Tertuduh Mohd Noor Ab Manap, 31, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada bapa kepada empat anak itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh individu dikenali sebagai Adam yang berusia lebih kurang dua tahun di sebuah rumah di Jalan Janglau 1, Kampung Janglau, Rompin, Pahang pada 2 pagi, 11 November 2021.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Januari 2022 untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhalimatun Saadiah Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Supritendan Mohd Azahari Mukhtar dalam kenyataan pada Khamis berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 4 pagi, 11 November 2021.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu dibawa ke hospital pada 2 pagi hari sama dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki dipercayai bapa angkat kanak-kanak tersebut.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mendapati terdapat kecederaan seperti kesan lebam di belakang badan dan bahagian perut mangsa dipercayai akibat dipijak.

Difahamkan, mangsa warga Indonesia yang sudah kematian ibu dan tidak mempunyai bapa telah diserahkan abang ipar suspek untuk dijaganya sejak Disember tahun lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, bunuh, kanak-kanak, polis