'COD' dadah secara terus kepada pelanggan sekitar KL, tiga tokan akhirnya dicekup


  • 112
  • Khamis, 18 Nov 2021

Datuk Yahaya Othman (kiri) berkata, dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat mengikut jumlah permintaan. — The Star

TAKTIK tiga penjenayah mengedar dadah secara penghantaran terus kepada pelanggan dengan menggunakan kereta terbongkar menerusi enam serbuan yang dilaksanakan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kuala Lumpur.

Serbuan tersebut dilakukan melalui Ops Lizard yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur bermula 15 November sehingga 17 November 2021.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat mengikut jumlah permintaan.

"Pengedar dadah tersebut akan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain mengikut permintaan pelanggan mereka.

"Penjenayah akan membawa dadah mengikut jumlah yang diminta oleh pelanggan. Kalau pelanggan mahu 1 kilogram (kg), mereka akan bawa 1kg," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada petang Khamis (18 November).

Bercakap lebih lanjut, Yahaya berkata, sindiket ini telah dikesan bergerak aktif sejak pertengahan tahun 2021 dan ketiga-tiga suspek didapati mempunyai kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah.

Mengulas mengenai Ops Lizard itu, Yahaya berkata dalam serbuan pertama, sebanyak 22.5kg dadah disyaki ganja dan 2,800 biji pil disyaki Erimin 5 dijumpai dalam sebuah kereta kawasan parkir di Jalan Sultan Sulaiman Kampung Baru.

"Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditangkap dalam serbuan pertama, manakala suspek kedua berusia 28 tahun ditangkap dalam serbuan kedua di lokasi sama dan kedua-duanya positif dadah Tetrahydrocannabinol (THC).

"Seterusnya serbuan ketiga di Condominium di Jalan Tun Razak, polis merampas wang tunai berjumlah RM31,832," katanya.

Yahaya berkata bertindak atas tiga serbuan tersebut polis kemudiannya melakukan tiga lagi serbuan di kawasan letak kereta kondominium di Selayang, Kepong.

Melalui serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan dan polis merampas 0.78kg dadah disyaki ganja bersama wang tunai sebanyak RM126 daripada suspek.

"Suspek tersebut juga positif dadah jenis THC dan Methamphetamine. Ketiga-tiga suspek tersebut kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram