Pharmaniaga bekal dos penggalak Sinovac di hospital dan klinik swasta


  • Bizz
  • Khamis, 18 Nov 2021

DOS penggalak diberikan selang enam hingga 12 bulan selepas dos kedua.

DOS vaksin penggalak Covid-19 jenis Sinovac akan dibekalkan kepada hospital dan klinik swasta terpilih oleh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) tidak lama lagi.

Ia susulan kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) pada Rabu.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, vaksin itu boleh didapati di hospital dan klinik swasta tertentu.

"Ia sebagai pilihan bagi individu yang berhasrat mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Sinovac bagi diri mereka.

"Kami harap dengan usaha ini kita akan dapat lihat ekonomi negara terus pulih, di samping membantu rakyat Malaysia menangani pandemik, sekali gus memastikan kesejahteraan orang ramai, kelangsungan perniagaan, dan yang penting sekali menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac itu mendapat kelulusan untuk diberikan kepada individu berumur 18 tahun dan keatas yang telah menerima vaksin jenis yang sama (homologous) tiga hingga lima bulan selepas dos kedua.

Kelulusan itu sebagaimana yang digariskan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B).

"Kami difahamkan beberapa bandar raya dan wilayah di China telah mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada mereka yang telah menerima dos kedua sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas.

"Di China, dos penggalak itu mula diberikan selepas 80 peratus populasi negara berkenaan divaksin untuk memberikan perlindungan optimum dalam menentang virus dan varian baharu," ujarnya.

Tambahnya lagi, berdasarkan penyelidikan di China, dos penggalak diberikan selang enam hingga 12 bulan selepas dos kedua.

Katanya lagi, ia bagi mewujudkan respons imun yang lebih mantap, dengan geometric mean titers (GMTs) meningkat sehingga kira-kira 140 dalam kalangan dewasa dan lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"GMT enam bulan selepas dos ketiga adalah lebih tinggi daripada kemuncak dos kedua dan kajian juga menunjukkan kekuatan antibodi yang lebih tinggi sehingga 20 kali ganda, enam bulan selepas dos penggalak berbanding dos kedua, menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama dan menangani varian baharu.

"Vaksin Sinovac Covid-19 adalah selamat kerana ia dibangunkan dengan menggunakan virus tidak aktif yang merupakan teknologi yang mantap selama lebih daripada 40 tahun, yang juga biasa digunakan dalam pelbagai jenis vaksin yang boleh didapati di pasaran termasuk untuk polio, Hepatitis A dan rabies,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram