AMUKAN seorang wanita menjadi tular di laman media sosial Facebook kerana mengalami gangguan masalah bekalan air di perumahannya iaitu Universiti Utama Condominium (UUC) Telipok, Sabah.
Perkongsian dari laman Facebook Victor Suan Orow menyiarkan beberapa video luahan dari penduduk di apartmen berkenaan mengenai isu air yang sudah berlaku sejak enam bulan lalu lagi.
"Kamu kena jelaskan lah kenapa setiap bulan saya bayar bil air tapi masih tidak dapat air. Saya sampai bulan-bulan habiskan duit untuk pergi ke hotel semata-mata untuk dapatkan air," luahan dari wanita yang mengamuk itu.
"Awak suruh kami turun bawah ambik air, jadi apa guna saya bayar untuk bil air dan yuran penyelenggaraan?" tambahya.
Penduduk di situ juga mengadu bahawa mereka sehingga tidak cukup makan dan minum disebabkan masalah bekalan air yang terputus.
Lebih merisaukan penduduk di situ ialah kalau penghuni lain yang mungkin sedang sarat mengandung atau warga emas terpaksa untuk ulang alik mengambil air.
VIDEO tular yang dimuat naik di Facebook milik Victor.
Pada masa sama, bukan satu pengadu saja tetapi ramai penduduk yang turun mengadu mengenai isu air ini kepada pihak pengurusan apartmen itu.
"Bukan menuding jari kepada sesiapa. Tetapi ini menunjukkan kelemahan dan kekurangan sistem yang ada dalam komuniti kita," komen Victor dalam hantarannya berkenaan isu ini.
"Bila kita mengadu mereka akan cakap kita kuat menyalak. Bila kita bagi pendapat, mereka cakap akan diusulkan dana dipanjangkan dalam mesyuarat," tambahnya.
Dalam pada itu, satu mesyuarat tergempar difahamkan telah diadakan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Juplin bersama pegawai kanannya dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada Rabu bagi membincangkan masalah yang dihadapi penduduk terbabit.
Ia bertujuan mencari langkah-langkah penyelesaian jangka pendek untuk memberi respons kepada masalah yang menjadi tular di media sosial sejak Selasa.
Sehingga kini hantaran itu mendapat Lebih 1200 perkongsian dan lebih 336 likes di Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram