Bukan sekadar latihan, ini fakta tentang Hawk milik TUDM


  • Massa
  • Rabu, 17 Nov 2021

Pesawat pejuang Hawk MK 108

TRAGEDI yang menimpa dua juruterbang pesawat pejuang Hawk Mk108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia benar-benar mengejutkan seluruh negara.

Kali terakhir insiden yang sama berlaku adalah pada 15 Jun 2017 di Chukai, Terengganu yang mengorbankan dua juruterbang iaitu Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, yang sedang melakukan latihan penerbangan menggunakan pesawat tersebut ketika kejadian berlaku.

Terbaharu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera apabila pesawat yang dinaiki terhempas ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Kebiasaannya, pesawat Hawk digunakan untuk tujuan latihan tetapi sebenarnya ada beberapa lagi fakta tentang pesawat buatan Amerika Syarikat itu.

Berikut adalah fakta berkenaan pesawat pejuang Hawk MK108.

> Hawk dihasilkan oleh syarikat BAE Systems dari Britain pada 1970-an.

> Penerbangan pertama dilakukan pada 21 Ogos 1974 sebelum diperkenal kepada umum pada 1976.

> Malaysia mula memiliki pesawat Hawk MK108 dan MK208 sekitar tahun 1994 dan 1995.

> Jumlah terkini pesawat Hawk MK108 dan MK208 yang dimiliki dan boleh diguna TUDM ialah 18 buah.

> Hawk MK108 mempunyai dua tempat duduk dan Hawk MK208 pula adalah satu tempat duduk.

> Hawk MK108 dan MK208 boleh membawa senjata tetapi hanya untuk tujuan serangan ringan.

> Pada 5 Mac 2013, TUDM menggunakan lima buah pesawat Hawk untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu.

> Pesawat pejuang Hawk MK108 dan MK208 sudah dihentikan produksi dan kali terakhir dijual pada tahun 2002.

> Kedua-dua pesawat ini digunakan untuk tujuan latihan lanjutan sebelum juruterbang dibenarkan untuk membawa pesawat pejuang.

> Juruterbang perlu mahir mengendalikan Hawk MK sebelum naik ke pesawat pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan Boeing F/A-18D Hornet.

> Pada 2019, negara menerima pengiktirafan daripada syarikat pengeluar Hawk Mk108 dan 208 sebagai pengguna paling lama oleh syarikat pengeluar, BAE Systems dari Britain.

> Negara yang menggunakan pesawat jenis Hawk ialah Australia, Bahrain, Kanada, Finland, United Kingdom, Indonesia dan Korea Selatan.

> Secara purata, kesemua pesawat pejuang sama ada latihan atau tempur yang dimiliki negara sudah berusia lebih 20 tahun.

> Pesawat pejuang yang dimiliki negara setakat ini ialah 18 (Sukhoi Su-30MKM) dan lapan (Boeing F/A-18D Hornet). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TUDM, Kemalangan, Hawk, Pesawat Pejuang,