Semua pesawat pejuang berusia lebih 20 tahun, elok tukar baharu — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 17 Nov 2021

Pesawat pejuang Hawk MK 108 yang digunakan negara dibeli sekitar tahun 1994 dan 1995

KEMALANGAN maut yang berlaku melibatkan pesawat pejuang dua tempat duduk, Hawk Mk108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia pada malam Selasa mengejutkan ramai pihak.

Ini kerana, kemalangan serupa sudah berlaku sebanyak sembilan kali dengan kali terakhir pada 2017 yang di Chukai, Terengganu dan turut mengorbankan dua nyawa.

Untuk rekod, mangsa yang berada di dalam pesawat iaitu Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy dan Mejar Mohd Fareez Omar.

1370730

SEORANG juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108, pada malam Selasa. — Bernama

Bagi penganalisis pertahanan, Zaki Salleh, amat sukar untuk menyatakan sama ada menilai kemalangan tersebut disebabkan oleh faktor usia pesawat atau kesilapan di atas udara.

"Kedua-dua juruterbang juga dilihat mempunyai pengalaman yang tinggi dan bukan calang-calang orang dalam pertahanan udara.

"Sebab itu agak sukar untuk menilai secara awal punca berlakunya kemalangan tersebut," katanya kepada Majoriti.

Menurut Zaki, setiap kali pesawat pejuang keluar, segala prosedur dan tahap keselamatan untuk berada di ruang udara akan dipastikan terlebih dahulu sebelum berlepas.

Malah jelasnya, pemeriksaan juga dilakukan oleh individu yang pakar dan bila disahkan selamat untuk terbang, baru latihan boleh dilakukan.

"Cuma daripada segi umur pesawat itu, sebenarnya kita sudah boleh tukar kepada yang baharu. Kalau ikutkan, kesemua pesawat pejuang yang dimiliki negara sudah berusia lebih 20 tahun.

"Pesawat pejuang jenis F-18 yang dimiliki negara pun sudah berusia kira-kira 25 tahun dan sama juga dengan pesawat pejuang jenis Sukhoi.

"Kerajaan juga sebelum ini sudah menyatakan hasrat untuk menggantikan pesawat MK108 pada tahun lalu tetapi masih lagi dalam peringkat perbincangan," katanya.

Untuk rekod, Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada Disember tahun 2020 juga memaklumkan yang pesawat Hawk Mk108 sudah digunakan lebih 23 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram