'Vaksin lebih tempoh' antara 4 faktor gelombang baharu Covid-19


  • Massa
  • Rabu, 17 Nov 2021

ORANG ramai yang tidak SOP ketika PRN dan rentas negeri dijangka akan menyebabkan lonjakan kes Covid-19 pada Disember ini. —The Star

ORANG ramai yang leka atau kurang mengambil perhatian terhadap prosedur operasi standard (SOP) antara antara faktor penyumbang gelombang baharu Covid-19 pada Disember ini, kata Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia itu berkata situasi itu boleh berlaku memandangkan perubahan cuaca pada Disember dengan risiko banjir di seluruh negara.

Jelasnya, apabila berdepan situasi bencana banjir, rakyat akan mula leka dan tidak mengambil perhatian untuk menjaga SOP.

Malah katanya keadaan ini mungkin diburukkan lagi apabila tahap keberkesanan penerima dua dos vaksin Covid-19 sudah melebihi tempoh tiga hingga enam bulan ketika itu.

"Kemungkinan tahap imuniti mereka berkurangan," katanya kepada Majoriti.

Dr Zainal Ariffin turut menjangkakan wujudnya varian-varian baharu Covid-19 yang bakal merebak seperti Delta dan DeltaPlus.

"Malah, kalau kita tak jaga SOP ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) dan rentas negeri pada masa sekarang, jadi kemungkinan itu akan ada (gelombang baharu) dan mungkin akan ada peningkatan kes," jelasnya.





Dr Zainal Ariffin menjangkakan wujudnya varian baharu pada Disember ini. —The Star

Namun, katanya, kemungkinan peningkatan kes Covid-19 dapat dielakkan sekiranya orang ramai bersedia dari sekarang.

Katanya, ini termasuk tindakan pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mesti menyediakan fasiliti dan kakitangan supaya mereka bersiap siaga berhadapan dengan gelombang baharu.

"Ambillah dua dos (vaksin) bagi siapa yang belum lengkap dan mereka yang telah tiba masa untuk dapatkan booster, ambillah booster sama ada secara appointment atau walk in.

"Ini semua jangkaan seperti ramalan cuaca dan ia berdasarkan data yang sahih. Semua orang mesti bersedia dan dengan semua ini kita boleh elak apa-apa gelombang pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, seorang doktor perubatan memberi bayangan bahawa Malaysia bakal berdepan dengan gelombang keempat Covid-19 pada Disember ini.

Menerusi laman Twitter, Azfar Kamal berkata, kes Covid-19 dijangka melonjak dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau membayangkan pusat Covid kini bersiap siaga untuk menghadapi gelombang itu, ditambah pula dengan wad dan unit rawatan rapi kini penuh dengan pesakit kategori 4 dan 5. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram