PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan kononnya Datuk Seri Sulaiman Md Ali hanya akan menjadi Ketua Menteri Melaka sementara sekiranya gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Menerusi catatan di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno meminta pengundi agar tidak termakan dan terpengaruh dengan fitnah yang dilontarkan pihak tertentu.
"Kepada pengundi dan rakyat Melaka, jangan dengar! Jangan termakan dengan fitnah.
"Mana ada ketua menteri sementara sementara, ini bukan cerita main-main! Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal,” katanya.
Sulaiman dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan oleh rakyat dalam PRN Sabtu ini.
Pakatan Harapan (PH) pula menamakan Adly Zahari yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Selain itu, Perikatan Nasional (PN) akan menamakan calon Ketua Menteri sehari sebelum pengundian.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman.
SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram