Sesak nafas tengok harga menu ikan siakap RM 1196.80 di Langkawi


  • Tular
  • Khamis, 04 Nov 2021

BIL yang dikongsikan Muhammad Faris. — Facebook

BUKAN setakat terbeliak mata, jantung juga boleh gugur apabila melihat caj untuk sajian seekor ikan siakap dicaj sehingga RM 1196.80.

Kejadian itu menimpa seorang pengguna laman sosial Facebook, محمد فارس ذوالقرنين (Muhammad Faris Zulkarnain) semasa dia dan keluarga mengikuti percutian santai syarikatnya di Pulau Langkawi, Kedah.

Berkongsi dalam satu hantaran, Muhammad Faris menceritakan, kejadian itu berlaku pada Selasa (2 November) semasa dia dan keluarga serta rakan-rakan sekerja menjalani aktiviti menaiki bot (Mangrove Tour Langkawi) mengelilingi beberapa pulau dan tempat menarik di sana.

" Selepas beberapa lawatan, kami dibawa untuk makan tengah hari di sebuah restoran di salah satu checkpoint yang ada.

"Secara kebiasaannya untuk tujuh orang dewasa makan dua ekor siakap sudah memadai bahkan mungkin akan terlebih sedikit. Maka kami tempah dua ekor siakap dan sebut untuk tujuh orang makan bersama dengan menu-menu yang lain," katanya yang sudah 24 tahun tidak berkunjung ke Pulau Langkawi.

Tambahnya lagi, bagaimanapun seorang pekerja restoran berkenaan memaklumkan kepadanya untuk mengesahkan semula tempahan ikan siakap memandangkan seekor ikan di situ sudah bersaiz besar.

Melihat kepada saiz ikan yang ditunjukkan pekerja berkenaan, Muhammad Faris menceritakan dia bersetuju untuk menempah seekor ikan sahaja.

"Apabila sampai menu-menu yang sudah ditempah, kami terkejut seekor ikan siakap tadi dapat diisi di dalam pinggan besar (pinggan biasa letak ikan) sebanyak lima pinggan.

"Kami pun cakap ini untuk bukan untuk tujuh orang makan tetapi 30 orang. Pada masa itu saya sudah menjangka bahawa harga mungkin akan mahal. Saya membayangkan mungkin harganya lebih kurang RM 700 hingga RM 800," ujarnya.

Dakwanya lagi, setelah selesai makan dan ikan yang ditempah masih berbaki separuh dan dibungkus, dia terkejut apabila mahu membayar di kaunter bil yang diberi tertera nilai RM 1852.50.

Jelasnya lagi, memandangkan dia tidak mempunyai wang tunai dan dana kad debit yang mencukupi, dia terpaksa membayar amaun tersebut dengan menggunakan kad kredit.

Lebih mengejutkan, pembayaran menggunakan kad kredit dikenakan caj sebanyak lima peratus menjadikan jumlah yang dibayar hampir mencecah RM2,000.

Bukan sahaja Muhammad Faris, rakan-rakan sekerja dan pelanggan lain turut mengalami nasib sama.

"Selepas itu saya lihat pelanggan di belakang saya pun seolah-olah pasrah. Dia makan berdua dan bil yang dikenakan sebanyak RM 755.00.

Kemudian saya tanya pula pada Dr Azrul (rakan sekerja) berapa mereka bayar untuk makan tadi. Dr Azrul maklumkan yang beliau pun dicas sebanyak RM 800 lebih," kongsinya.

Hurai Muhammad Faris lagi, dia menasihatkan orang rama supaya lebih berhati-hati ketika menempah makanan di lokasi percutian dan berharap agar peniaga tidak mengambil kesempatan kepada pelancong yang datang ke tempat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram