BERPANTANG maut sebelum ajal. Demikian ungkapan sesuai terhadap seorang penunggang dan pembonceng motosikal yang dilihat terselamat selepas 'terbelit' kanvas lori gara-gara objek itu tertanggal dalam satu kejadian pada Rabu.
Menerusi video berdurasi 45 saat yang dikongsikan pengguna Facebook, Michael Meng, kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal tersebut hampir digilis sebuah treler selepas motosikal yang ditunggangi menghimpit kenderaan berat itu.
Ia berpunca daripada kanvas sebuah lori lain dipercayai lori sampah yang tertanggal lalu terkena penunggang motosikal terbabit hingga menyebabkan penglihatan mereka terganggu seketika angkara diselubungi kanvas berkenaan.
Kenderaan dua tayar itu kemudian menghimpit tayar treler hingga mengakibatkan kedua-dua penunggang terjatuh di atas jalan raya.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun dilihat masih mampu berdiri sebaik sahaja terjatuh daripada motosikal dinaiki tersebut.
Video kejadian yang dipercayai berlaku di laluan menghala ke Putrajaya dari arah Puchong itu tular sejak Rabu.
Video berkenaan mendapat perhatian warganet yang mengecam tindakan pemandu lori terbabit kerana tidak mengikat kanvas dengan betul.
Bukan itu sahaja, lori itu juga dilihat hanya meneruskan perjalanan dan tidak berhenti sebaik sahaja kanvas itu tertanggal.
Sementara itu, polis Shah Alam dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya kini mengesan individu terlibat dalam video tular tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, laporan dibuat oleh JSPT Sepang selepas video tersebut dikesan sekitar jam 11 malam Rabu.
"Semakan mendapati rakaman video tersebut menunjukkan satu kemalangan yang berlaku dalam daerah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang iaitu Kilometer 33.5 Jalan Puchong/Cyberajaya/Dengkil berhampiran susur menghala ke arah Kajang," katanya.
Azman bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima laporan daripada individu yang terlibat dalam kejadian itu.
"Nombor pendaftaran bagi semua kenderaan terlibat dalam kemalangan ini masih boleh dapat dipastikan lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram