JPJ lupus kes salah saman Alphard 'tak pandu laju'


  • 112
  • Isnin, 01 Nov 2021

AHMAD berterima kasih kepada pihak JPJ dan pihak yang membantunya menyelesaikan isu berkenaan.

PEMILIK kenderaan jenis Toyota Alphard, Ahmad Zuldz yang tular kerana disaman atas kesalahan memandu di bawah had laju yang dibenarkan di lebuh raya sebenarnya sudah mendapat khabar gembira daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ini berikutan katanya dalam satu hantaran di akaun laman sosial Facebook pada Khamis (28 Oktober), pihak JPJ telah melupuskan saman berkenaan kerana difahamkan ia merupakan satu kesilapan teknikal.

Tulisnya, dia berterima kasih kepada pihak JPJ dan pihak yang membantunya menyelesaikan isu berkenaan.

"Alhamdulillah, selesai, terima kasih pada pihak JPJ yang membantu, lupus saja, kesilapan teknikal.

"Buat sahabat yang membantu bila tengok Facebook saya, terima kasih teramat tuan," kongsinya.

Terdahulu, Majoriti pada Jumaat melaporkan satu perkongsian surat saman JPJ yang dikongsi oleh Ahmad.

Surat saman itu dikeluarkan kerana pemilik kenderaan (Ahmad) membawa kereta pada kelajuan 102km sejam iaitu di bawah had laju yang dibenarkan di lebuh raya (110km sejam).

Pada Isnin pula, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, perkara itu kini dalam siasatan pihaknya selepas insiden tersebut tular di laman sosial.

"Saya akan minta pasukan (berkaitan) siasat perkara ini," katanya.

Buat masa ini, Majoriti masih cuba mendapatkan pengesahan pihak JPJ berhubung perkongsian terbaharu Ahmad tersebut.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPJ, saman, had laju, toyota, alphard, lebuh raya, Taiping