JPJ siasat insiden disaman sebab tak pandu laju


  • Massa
  • Isnin, 01 Nov 2021

ZAILANI mengarahkan anggotanya segera menyiasat insiden pemandu disaman kerana memandu di bawah had laju lebuh raya yang tular di laman sosial. — Gambar ihsan JPJ

PERKONGSIAN tular surat saman yang dikeluarkan kepada seorang pemilik kenderaan yang membawa kereta pada kelajuan 102km sejam iaitu di bawah had laju yang dibenarkan di lebuh raya (110km sejam) baru-baru ini, mendapat perhatian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, perkara itu kini dalam siasatan pihaknya selepas insiden tersebut tular di laman sosial.

"Saya akan minta pasukan (berkaitan) siasat perkara ini," katanya kepada Majoriti.

Pada Jumaat, Majoriti melaporkan sepucuk surat saman JPJ di laman sosial, Facebook menarik perhatian warganet yang melihat ia sebagai sesuatu yang melucukan.

Dikongsi oleh pemilik akaun, Mohd Zuldz, surat saman itu dikeluarkan kerana pemilik kenderaan membawa kereta pada kelajuan 102km sejam iaitu di bawah had laju yang dibenarkan di lebuh raya (110km sejam).

Tulisnya, dia juga keliru dengan surat saman itu dan berpendapat bahawa kemungkinan dia perlu menambah kelajuan lagi 10km sejam bagi mengelakkan disaman.

Berdasarkan surat saman itu, pemilik kenderaan telah disaman mengikut seksyen seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu gagal mematuhi isyarat lalu lintas had laju yang ditetapkan 110km sejam.

Berdasarkan semakan dalam jadual kadar kompaun JPJ, seksyen itu menetapkan kadar saman berjumlah RM300.

Pemilik kenderaan jenis Toyota Alphard itu juga didapati melakukan kesalahan itu di KM 204.6 Lebuhraya Utara Selatan -Taiping, Perak pada 10 Oktober jam 10.08 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram