Niat bantu mangsa kemalangan bertukar tragedi, dua-dua maut dirempuh kereta di Bayan Lepas


  • 112
  • Ahad, 31 Okt 2021

KEDUA-DUA mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi parah. — Gambar ihsan JBPM

DUA maut akibat dirempuh oleh sebuah kereta dalam kemalangan di Solaria Residences, Jalan Tun Dr. Awang, Bayan Lepas, Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.

Kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu dikatakan berlaku semasa Suhaila Zainol Abidin, 45, bersama seorang rakannya cuba membantu seorang penunggang motosikal Faizal Abu Bakar, 33, yang terjatuh selepas terbabas di jalan berkenaan.

Menurut sumber polis, sebuah kereta kemudiannya muncul secara tiba-tiba lalu merempuh Suhaila serta Faizal, mengakibatkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah sumber berkenaan, rakan Suhaila yang berusia lingkungan 30-an serta pemandu kereta Proton Wira iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun, mengalami kecederaan parah akibat kemalangan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan menurutnya siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram