Terselamat selepas lapan jam berpaut pada tong di tengah lautan


  • Tular
  • Isnin, 25 Okt 2021

KESEMUA mangsa yang diselamat dikatakan sudah berpaut pada tong gas dan tong drum selama lapan jam di tengah laut. — Facebook

TONG gas dan tong drum jadi hero.

Itu mungkin yang paling sesuai untuk menggambarkan detik cemas dua individu yang hanyut di tengah lautan selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kuala Kedah, Kedah.

Kedua-duanya mangsa bertindak berpaut di tong gas dan tong drum sebelum dijumpai sebuah bot yang melalui kawasan yang mereka berada.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka dikatakan masih lagi hilang dan tidak dapat dikesan kedudukannya.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook bernama Nor Fazlan dan page Info Kemalangan Jalan Raya & Isu Semasa, mangsa yang ditemui sudah pun berada di tengah laut selama lapan jam sebelum ia tular pada Ahad.

“Lapan jam terapung di laut berpaut pada tong gas dan tong drum. Bot pukat udang karam di Kuala Kedah dari jam 3 pagi hingga 10 pagi.

“Mesti setiap minit berdoa supaya ada bot lalu yang boleh selamatkan,” menurut kapsyen yang disertakan bersama tiga video.

Menerusi video itu, kedengaran suara yang mengatakan mangsa berjaya ditemui selepas terdengar jeritan.

“Allahuakbar. Aku dengar orang dok menjerit,” katanya yang dipercayai individu dalam bot yang menyelamatkan mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

karam, bot, tong, kuala kedah,