DUA buah kereta kemalangan manakala seorang pemandu cedera akibat tindakan cuai seorang jurutera yang memandu secara melawan arus di Kilometer 26 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di Port Dickson, Negeri Sembilan pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, hasil ujian dilakukan di Balai Polis Trafik Port Dickson mendapati, lelaki berusia 29 tahun yang ditahan itu di bawah pengaruh alkohol.
Jelasnya, kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu suspek, manakala dua lagi adalah kereta mangsa iaitu Proton Saga dan Toyota Vios.
"Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, lelaki berkenaan telah memandu secara melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban, kereta suspek kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan.
"Susulan kejadian itu, suspek tidak cedera namun seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan iaitu patah paha kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Vios berusia 24 tahun bersama dua orang penumpang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Aidi Sham berkata, lelaki berusia 31 tahun yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 42 (1) APJ 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram