Tragedi ketika konvoi, pekerja kilang maut motosikal bergesel sebelum terbakar


  • 112
  • Isnin, 25 Okt 2021

KEDUA-DUA motosikal yang kemalangan itu turut terbakar di lokasi kejadian.— Sinar Harian

PERJALANAN konvoi dari Melaka ke Klang bersama rakan bertukar tragedi apabila seorang pekerja kilang maut dalam satu kemalangan sesama sendiri di Kilometer 39.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Sepang, Selangor pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, dalam kejadian pukul 4.20 petang itu, motosikal yang ditunggang dua mangsa berusia 24 dan 38 tahun turut terbakar.

“Mereka menunggang dua motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan dari Melaka ke Klang, Selangor.

“Setibanya di lokasi kejadian, berlaku pergeseran antara mereka, akibatnya mangsa berusia 38 tahun itu tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Kamarul Azran berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

"Seorang lagi mangsa yang cedera masih dirawat di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Terdahulu, pasukan Bomba dan Penyelamat KLIA menerima panggilan mengenai motosikal dua buah motosikal yang terbakar.

Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dua buah motosikal yang berkonvoi itu terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar.

"Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus kedua-dua motosikal itu," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram