SEKURANG-KURANGNYA 22 penumpang terkorban, manakala lebih 30 lagi cedera selepas sebuah kren runtuh dan menghempap kereta api penumpang di tapak pembinaan projek landasan berkelajuan tinggi yang disokong China di Thailand pada Rabu.
Ketua Polis wilayah Nakhon Ratchasima, Thatchapon Chinnawong mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa insiden berkenaan berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).
"Kami mengesahkan seramai 22 mangsa maut setakat ini, manakala lebih 30 orang mengalami kecederaan," katanya kepada AFP.
BACA LAGI: Lepas serang, culik Presiden Venezuela, Trump ikrar tak mustahil Colombia jadi sasaran seterusnya
BACA LAGI: [VIDEO] Kemaruk nak jadi pramugari, tembelang wanita Palembang di awan biru terbongkar
Menurut pihak berkuasa tempatan, kren yang digunakan bagi pembinaan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi itu runtuh secara tiba-tiba sebelum menghempap sebuah kereta api penumpang yang sedang melalui kawasan berkenaan di Nakhon Ratchasima, Bangkok.
Jabatan Perhubungan Awam Wilayah Nakhon Ratchasima dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian itu menyebabkan kereta api terbabit tergelincir dari landasan sebelum terbakar.
Rakaman yang disiarkan media tempatan menunjukkan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah tren berwarna terang kelihatan terbalik di sisinya, sementara asap tebal berkepul dari serpihan runtuhan.
Pihak berkuasa wilayah mengesahkan bahawa kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bangkok menuju ke wilayah Ubon Ratchathani ketika insiden berlaku.
BREAKING: Tragic accident in Thailand: At least 22 dead and 55 injured after a high-speed rail construction crane collapsed onto Train No. 21 traveling from Bangkok to Ubon Ratchathani, between Nong Nam Khuean and Si Khio stations. There were 190 passengers on board. pic.twitter.com/OBrvp7M6WS
— Weather Monitor (@WeatherMonitors) January 14, 2026
Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, seramai 195 penumpang berada di dalam kereta api tersebut dan usaha mengenal pasti mangsa yang terkorban sedang giat dijalankan.
Kren itu digunakan bagi pembinaan projek bernilai AS$5.4 bilion (RM21.9 bilion) untuk membangunkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Thailand yang disokong Beijing.
Ia menyasarkan untuk menghubungkan Bangkok ke Kunming di China melalui Laos menjelang 2028 sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur besar China, Belt and Road.
Untuk rekod, kemalangan di tapak industri dan pembinaan sering dilaporkan berlaku di Thailand dengan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang longgar dikenal pasti sebagai antara faktor utama berlakunya insiden maut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
